PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuat siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong membabitkan sejumlah RM250 juta dalam tempoh 16 bulan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau ada mendengar mengenai perkara tersebut.
“Saya tak tengok artikel itu, saya dengar orang cerita sahaja.
“Dia (Kadir) kata tapi saya nak kena tengok betul atau tidak, perbelanjaan untuk beberapa tahun setahun ke, 10 tahun ke, saya tak tahu, saya kaji tengok, saya maklum nanti,” katanya dalam sidang media di Perdana Putra hari ini.
Dr Mahathir sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Kabinet bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berserta barisan menterinya.
Sebelum ini, Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A Kadir Jasin mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan Sultan Muhammad V sejak baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu ditulis dalam blognya, http://kadirjasin.blogspot.com, Isnin lalu.
Kadir mendakwa, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan kerajaan antaranya untuk penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Yang di-Pertuan Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana. -MalaysiaGazette