Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Pertemuan Khas Wakil Rakyat Keadilan di Hotel One World, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2018.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Datuk A. Kadir Jasin tidak seharusnya menggunakan hak kebebasan secara tidak bijak dengan mengkritik institusi Raja-Raja Melayu dengan fakta-fakta yang boleh dipertikaikan.

Ketua Umum PKR itu berkata, beliau terkilan dengan tindakan Kadir yang mempertikaikan hak dan keistimewaan Yang DiPertuan Agong.

“Saya tidak menafikan hak seseorang menulis dan berbicara tetapi untuk menyerang dan menghina raja-raja dengan fakta dipertikai dan maksud untuk menimbulkan permasalahan dalam negara kurang wajar,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan khas wakil rakyat PKR di Hotel One World di sini.

Komen beliau menyusul setelah Kadir mendakwa purata RM16 juta sebulan dibelanjakan untuk kemudahan penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.

Justeru, Kadir yang juga ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi di bawah Majlis Penasihat Kerajaan mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ketua Umum Pakatan Harapan itu lagi, pihaknya tanpa mendapat arahan mana-mana pihak sedang berusaha gigih untuk menghadap dan memberi keyakinan kepada institusi raja bahawa Pakatan Harapan (PH) akan membela hak dan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.

“Kami sudah bekerja keras untuk dapatkan penghargaan dari Raja-Raja Melayu, untuk mengubah kerajaan yang sudah 60 tahun mentadbir dan meluangkan banyak masa dengan Raja-Raja Melayu.

“Esok saya akan bertemu dengan Sultan Kedah, Terengganu. Saya juga akan bertemu Sultan Nazrin Shah di Majlis Quran Hours, dan anda kena faham bahawa seikhlasnya saya lakukan semua ini dengan hubungan yang saya ada untuk membantu kerajaan dan perdana menteri supaya ada peralihan yang aman.

“Ia juga sebahagian usaha murni saya untuk menyingkirkan persepsi ditimbulkan pihak tertentu bahawa PH akan mentadbir negara dengan menghapuskan keistimewaan Raja-Raja Melayu, hak bangsa Melayu dan kedudukan bahasa Melayu.

“Jika lakukan kritikan sebegini tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk jelaskan jawapan. Ia tidak sihat terutamanya menggunakan kedudukan yang ada,” kata beliau.

Dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet tengah hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau membaca artikel itu tetapi kerajaan akan meneliti terlebih dahulu dan akan menyiasat dakwaan kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan. – MalaysiaGazette