KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan meneruskan tugas sebagai pembangkang, biar pun ada defisit kepercayaan terhadap parti itu, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, BN juga sedar parti itu tidak akan diterima serta merta sebagai pembangkang yang berwibawa berikutan kemerosotan kepercayaan dalam kalangan rakyat.
“Sebahagian besar daripada kami telah mengambil tanggungjawab bersama atas segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang lepas. Ini termasuklah diri saya selaku bekas anggota Jemaah Menteri.
“Namun demikian, tugas kami sebagai pembangkang mesti diteruskan. Biar pun ada defisit kepercayaan terhadap kami, BN mesti tampil untuk menyemak dan mengimbang kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama di Parlimen demi mengukuhkan institusi demokrasi ulung yang dituntut dalam Malaysia baharu ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan BN segera memulakan persiapan untuk sidang Parlimen pertama yang akan bermula pada 16 Julai ini.
Kata beliau, langkah pertama adalah untuk memisahkan tugas antara parti BN dan juga wakil rakyat BN di Parlimen.
“Pengerusi BN tidak semestinya menjadi ketua pembangkang di Parlimen malah Pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN.
“Tugas-tugas perundangan di Parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu oleh pendirian dan polisi yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri,” katanya.
Kata Khairy, setelah Ketua Pembangkang dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen BN, satu kabinet bayangan perlu dibentuk.
“Walaupun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi bagi membolehkan rakyat merujuk dengan mudah siapa menteri bayangan bagi menyemak dan mengimbangi tugas menteri kerajaan.
“Sebagai pembangkang, BN juga akan mengusahakan supaya peranan Parlimen diperkukuhkan lagi. Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya pada pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baharu ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat pertimbangkan beberapa langkah pembaharuan yang juga disebut dalam manifesto Pakatan Harapan antaranya kewujudan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk menyemak rang undang-undang dan kewujudan Jawatankuasa Sementara.
“BN juga wajar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan tidak hanya membangkang semata-mata kerana kita pembangkang.
“BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara. Sebarang rang undang-undang perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini termasuklah cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula SST pada sesi Parlimen kali ini.
“Saya berpandangan, apabila ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara, ahli-ahli Dewan Negara BN wajib memberi kerjasama kepada agenda yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.
Khairy memberi contoh, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat mengenai SST, ahli-ahli Dewan Negara BN perlu meluluskan rang undang-undang itu kerana tanpa SST kutipan hasil kerajaan akan terjejas dan akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette