Ahmad Zahid berucap kepada ketua-ketua bahagian UMNO sebelum berangkat menunaikan umrah di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak telah meninggalkan BN, adalah di luar pengetahuannya.

Malah, bekas timbalan perdana menteri itu, berkata beliau juga tidak bertemu Presiden PBB, yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan merayu agar parti kedua terbesar dalam BN itu tidak meninggalkan BN seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

“Laporan mengenai PBB Sarawak yang diberitakan telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahuan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal berkenaan dalam sebuah artikel hari ini mendakwa bahawa Abang Johari telah memaklumkan keputusan untuk keluar BN dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, 31 Mei lalu.

Beliau kemudiannya turut dilapor berjumpa Ahmad Zahid di Kuala Lumpur, di mana pengerusi BN itu didakwa telah meminta Abang Johari untuk tidak meneruskan langkah untuk keluar daripada BN kerana gabungan itu akan hancur sekiranya ia terjadi.

“Namun saya amat menghormati dan mengalu-alukan pendirian PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak yang berhasrat menjalin hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

“BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya lagi.

Dengan kenyataan itu, Ahmad Zahid berharap tidak ada pihak yang melaporkan berita secara serkap jarang dan kurang profesional.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast