KUALA LUMPUR – Demam bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 yang akan berlangung pada 14 Jun hingga 15 Julai akan datang dihangatkan lagi dengan satu acara larian santai Futball Fanatix Run.
Berlangsung pada 7 Julai, peserta larian itu berpeluang menyaksikan perlawanan suku akhir piala berkenaan secara langsung beramai-ramai menggunakan skrin LED besar Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang akan bermula pada pukul 10 malam.
Pengerusi program, Tengku Loreta Tengku Ramli berkata, penganjuran acara itu oleh Titan Empire Event Management adalah untuk memeriahkan lagi perlawanan bertaraf dunia itu di negara ini.
Katanya, larian tersebut dibuka kepada orang ramai disemua peringkat umur untuk disertai dengan hanya dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM77 bagi setiap peserta.
“Acara itu nanti akan menghimpunkan peminat-peminat bola sepak dari seluruh negara. Dijangka lebih 10,000 orang akan menyertai larian itu.
“Penganjurannya merupakan satu bentuk riadah yang merupakan acara terbesar sempena Piala Dunia FIFA 2018,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Tengku Loreta berkata, larian tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, larian tiga kilometer, lima kilometer dan 10 kilometer.
Jelasnya, peserta yang mendaftr akan diberikan jersi serta sebuah bag sebagai cenderahati dan medal untuk kenang kenangan pada hari acara itu berlangsung.
Tambah beliau, pelbagai acara menarik turut diatur pada program berkenaan seperti tarian zumba, mini karnival, penampilan selebriti terenak dan persembahan artis, penampilan istimewa pemain-pemain dan lagenda bola sepak tanahair, busking, trak makanan, teka permata, cabaran permainan PS4, belon panas serta cabutan bertuah.
Tambah beliau, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 3,000 penyertaan menerusi pendaftaran secara dalam talian dan peserta yang paling ramai mendaftar adalah mereka yang mahukan Jersi dari Spain, Jerman dan Brazil.
“Kami sungguh teruja dengan sambutan orang ramai setakat ini kerana jersi yang diberi merupakan tarikan utama.
“Disebabkan kita akan buat secara telecast jadi mereka bersemangat nak sertai acara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette