Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam mengumumkan mahu bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti akan datang.

Bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan itu menerusi berkata, sudah tiba masa beliau menjadi benteng utama UMNO yang akan berjuang bermati-matian dibarisan hadapan bagi memastikan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja terus dipertahankan.

Meskipun menyedari peluangnya untuk menang jawatan itu agak tipis namun berbekalkan semangat dan daya juang yang tinggi beliau yakin mampu merubah persepsi anak-anak muda terhadap parti itu.

“Saya punya daya juang dan saya yakin mampu merubah anak-anak muda yang hari ini ramai bersama sama dengan saya dalam Pemantau.

“Walaupun dengan kedudukan mereka yang tidak mempunyai jawatan diperingkat bahagian, tapi mereka telah bangkit bersama-sama dengan saya dan kita telah membuat gerakan.

“Cuba bayangkan kalau saya diberikan mandat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda, saya mempunyai satu pasukan, saya mempunyai satu bala tentera yang boleh saya pimpin dalam memastikan kedudukan Pakatan Harapan yang hari ini dipimpin oleh diktator tua bernama Mahathir Mohamad dapat kita benamkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial itu.

Dalam pada itu Lokman turut menegaskan bahawa UMNO perlu berubah selepas tidak lagi mempunyai kuasa sebagai pemerintah ekoran kekalahan yang dialami pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lalu.

Katanya, sebagai pembangkang UMNO bukan sahaja memerlukan Pemuda yang mampu berhujah dipentas-pentas ceramah.

Malah, ia juga tidak beerti sekiranya dapat mematahkan hujah pihak lawan.

“Hari ini kedudukan umat Islam, kedudukan bangsa Melayu, kedudukan raja-raja kita sudah mula berada di hujung tanduk.

“Hari ini mereka mempertikaikan Jakim, mempertikaikan UiTM, mempertikaikan Felda dan mempertikaikan pelbagai perkara sehingga peruntukan kepada tahfiz juga dipertikaikan. Apa sudah jadi dengan kita,” ujarnya.

Lebih menyedihkan lagi dakwanya, apabila Yang diPertuan Agong terpaksa akur dengan keputusan kerajaan di atas pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

“Dimana suara kita ketika beliau (tuanku) memerlukan kita. Dimana suara kita ketika beliau dihina, diherdik oleh netizen di Facebook, di Whatsapp dan sebagainya. Tidak ada yang bangkit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau bukanlah hendak mempertikaikan perkara tersebut yang mungkin berlaku disebabkan kurangnya pengalaman.

Tetapi katanya, disebabkan rasa tanggungjawab sebagai seorang yang pernah bersama dengan kerajaan, maka sudah tiba masanya beliau membuat keputusan untuk bertanding jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast