KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini ramai netizen yang kurang bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Dira Abu Zahar sehingga meninggalkan pelbagai komen negatif di laman sosialnya.
Tidak cukup dengan itu, ada juga yang melemparkan kecaman beserta ‘tag’ nama mereka yang rapat dengannya sekaligus menimbulkan rasa kurang senang aktres itu.
Menerusi status di Insta Story di Instagramnya (IG), Dira yang juga Exco Puteri UMNO meminta agar netizen tidak melibatkan pihak lain terutama mereka yang rapat dengannya jika tidak bersetuju atau kurang senang dengan apa yang dilakukannya.
“Please jangan gaduh-gaduh sesama sendiri kat IG saya. Please. Nak marah saya, marah saya sahaja. Yang lain-lain, buat rileks jek. Nak raya ni.. jom tenang-tenang,” tulisnya.
Sebelum ini, Dira pernah dikecam apabila menulis status ‘mengusik’ YB Syed Saddiq di laman Twitter sehingga menjadi tular baru.
Ada di antara netizen yang berbalas komen dalam status tersebut telah ‘tag’ nama sahabat Dira yang juga merupakan seorang selebriti agar memberi teguran kepadanya.
Dalam pada itu, Dira menegaskan dia kini tidak lagi terlibat dalam dunia lakonan.
Dia hanya mahu menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan dan dunia politik bagi meneruskan legasi ditinggalkan arwah bapanya yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin. – MalaysiaGazette