NEW YORK – Legenda Arsenal dan Perancis, Patrick Vieira sah meninggalkan New York City dalam Liga Bola Sepak Utama (MSL) untuk bergelar pengurus pasukan Nice.
Vieira berhijrah ke saingan Ligue 1 untuk bersama Nice bagi menggantikan Lucien Favre yang memilih haluan baharu ke Borussia Dortmund.
Pengendali berusia 41 tahun itu menguruskan New York City sejak 2016 selepas mengemudi skuad simpanan Manchester City susulan persaraan selaku pemain profesional.
“Saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada City Football Group dan New York City FC di atas peluang yang mengendalikan kelab yang hebat ini.
“Meninggalkan New York adalah satu keputusan yang besar buat saya dan keluarga,” kata Vieira dalam kenyataannya, semalam.
Vieira akan membimbing Nice yang menamatkan saingan Ligue 1 pada musim lalu di tempat kelapan dan hanya dibezakan satu mata dengan slot ke saingan Eropah.
Turut menyertai Vieira ke Perancis adalah pembantu jurulatih, Christian Lattanzio, jurulatih kecergasan, Kristian Wilson, serta jurulatih kecergasan fizikal, Matt Cook. – MalaysiaGazette