Bekas Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara ILHAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin yang membuat kemunculan ‘mengejut’ di luar Menara Ilham hari ini memberitahu beliau tidak pasti siapa yang menggantikannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Kadir bertindak meletak jawatan berkuatkuasa serta merta pada 9 Jun lepas berikutan artikel kontroversinya baru-baru ini yang dikecam hebat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyentuh institusi raja.

“Saya tidak tau siapa pengganti saya. Kenapa tanya saya, hanya Majlis Mesyuarat berhak membuat keputusan itu. Saya hanya datang untuk melawat sahabat saya, Tun Daim Zainuddin.

“Tidak ada apa-apa kejutan. Saya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak. Semuanya elok sahaja. Hubungan saya dengan Anwar Ibrahim juga baik-baik sahaja malah saya kenal beliau ketika dalam ABIM lagi sejak 1982. Sangat lama hubungan kami.

“Jika saya terus memegang jawatan sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat, ianya akan menggangu kebebasan saya untuk bersuara. Adalah lebih baik saya meletak jawatan dan menjadi seperti anda, wartawan yang bebas menulis dan bersuara tanpa ikatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diserbu wartawan di luar Menara Ilham ketika mesyuarat Majlis Penasihat hari ini.

Bagaimanapun, jadual mesyuarat hari ini tidak menyebut sebarang perjumpaan antara Kadir.

Jelas Kadir menyatakan beliau hadir untuk mengucapkan selamat hari raya dan bukan untuk berbincang siapakah yang bakal menggantikannya.

“Saya hanya datang sebagai kawan ucap hari raya, itu sahaja,” jawabnya ringkas.

Kadir dalam  artikelnya baru-baru ini dilihat mengkritik raja Melayu dengan salah satunya mendakwa dana kerajaan kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, Anwar yang baharu sahaja selesai siri jelajah mengadap Raja Melayu di beberapa negeri tidak berpuas hati dengan Kadir dan menyatakan bekas wartawan itu perlu ada rasa hormat dan tertib dalam urusan dengan Raja-Raja Melayu.

Kadir kemudian menjelaskan, tulisan artikelnya itu disalahtafsir sebagai pandangan mewakili kerajaan walhal ia sebenarnya adalah pandangan peribadi beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast