KUALA LUMPUR – Sebuah NGO alam sekitar, Reef Check Malaysia membantah cadangan oleh seorang taikun baru-baru ini yang mahu membina lapangan terbang di Pulau Tioman sebaik kemenangan Pakatan Harapan sebagai kerajaan pusat baru-baru ini.

Pengurus Besarnya, Julian Hyde menggesa cadangan membina lapangan terbang itu dipindahkan ke pulau Mersing dan bukan di Tioman memandangkan pembangunan di pulau tersebut sudah pun memberi impak buruk kepada ekosistem alam sekitar di pulau itu.

“Pembinaan lapangan terbang (Tioman) sekiranya tidak dapat dielakkan akan membawa kepada lebih banyak resort dan infrastruktur akan dibina… ini hanya akan menyebabkan kerosakan lebih buruk kepada ekosistem pulau, sama ada di darat mahu pun dalam air.

“Kami berharap Kerajaan akan menjalankan kajian terperinci keupayaan pulau untuk pembangunan selanjutnya,” kata beliau.

Terdahulu, bos Kumpulan Berjaya Vincent Tan mengumumkan kumpulan itu akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membina sebuah lapangan terbang di Pulau Tioman bertujuan meningkatkan aktiviti pelancongan.

Tan berkata kumpulan itu akan membiayai kos pembinaan lapangan terbang yang dicadangkan itu.

Walau bagaimanapun, Bernama melaporkan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Badlisham Ghazali berkata terdapat kebimbangan terhadap kesan alam sekitar jika lapangan terbang baru dibina di pulau itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast