Adel Ezzat mengesahkan tiga pemain pasukan Arab Saudi bakal berdepan penalti berat selepas kempen Piala Dunia 2018 melabuh tirai.

MOSCOW – Para pemain Arab Saudi bakal berdepan hukuman tegas apabila pulang ke tanah air mereka selepas kempen Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Rusia.

Tiga pemain dikatakan bakal berdepan hukuman berat berikutan kekalahan teruk dalam aksi pembukaan kumpulan A dengan 5-0 kepada pasukan tuan rumah semalam.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi Adel Ezzat mengesahkan perkara itu.

Negara Timur Tengah itu dilabelkan mempamerkan aksi yang paling buruk dalam kejohanan berprestij tinggi itu.

Hakikatnya tiada siapa menjangkakan Arab Saudi menjadi salah satu pasukan pesaing gelaran dunia itu.

Ezzat berkata aksi pasukan kebangsaannya di Moscow jauh di belakang daripada apa yang diharapkannya.

Beliau menamakan tiga pemain yang akan dikenakan penalti atas aksi buruk iaitu penjaga gol Abdullah Al-Mayouf, Omar Hawsawi dan Mohammad Al-Sahlawi selepas tamat kempen itu 15 Julai nanti.

“Kami sangat kecewa dengan kekalahan itu. Keputusan itu tidak memuaskan, sebab ia tidak mencerminkan prestasi dan kualiti sebenar pasukan kami pada pentas dunia ini.

“Beberapa pemain akan berdepan penalti iaitu penjaga gol kami serta seorang penyerang dan pemain pertahanan kami,” katanya.

Namun beliau tidak menyatakan apa yang dimaksudkan sebagai penalti.

Terdapat juga kritikan dari figura bola sepak negara lain iaitu Abdulmohsen Al-Sheikh dari Turki selaku Pengerusi Lembaga Sukan Umum yang menyifatkan perlawanan itu sebagai mengejutkan dalam akaun Twitternya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast