Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kamin.
Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kamin.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menghapuskan levi sebanyak RM10,000 untuk permit import (AP) terbuka bagi membantu industri automotif.
Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Kemin berkata, pelaksanaan sistem fi yang diperkenalkan sejak 2010 telah memberi kesan dan menjejaskan prestasi pengusaha automatif Bumiputera termasuklah syarikat miliknya.
“Kita harap kerajaan yang baharu ini dapat menghapuskan sistem fi sebanyak RM10,000 bagi setiap unit AP terbuka, di mana sehingga kini kita telah membayar lebih RM40 juta kepada kerajaan terdahulu.
“Jumlah berkenaan sangat membebankan peniaga yang sebelum ini turut dibebani cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Menurut Ahmad, sejak sistem berkenaan dikuatkuasakan syarikatnya telah membayar sebanyak RM40 juta.
Malah, beliau turut mengecilkan operasi syarikatnya apabila terpaksa memberhentikan 100 orang pekerja daripada 250 orang sebelum ini.
Langkah itu diambil kata beliau selepas meneliti kos gaji, bil utiliti dan pekerja.
Dalam pada itu Ahmad menyambut baik langkah kerajaan yang melaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sifar pada 1 Jun lalu kerana langkah itu mampu melonjakkan perniagaannya antara 30 hingga 40 peratus.
“Purata sehari kami mampu menjual antara 15 hingga 20 unit kenderaan terutama kereta jenama Toyota dan ia menguntungkan,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan pembeli sememangnya menunggu saat sifar GST itu kerana mereka menganggap akan mendapat pelbagai promosi selain rebat. – MalaysiaGazette