Ketua Perhubungan UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada sidang media khas mengenai pencalonan beliau untuk bertanding jawatan Presiden UMNO di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2018
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengakhiri teka-teki yang telah hampir sebulan diperkatakan apabila beliau hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan September ini.

Dalam satu sidang media khas di kediamannya di sini, Ku Li memberitahu, keputusannya untuk membuat ‘come back’ adalah demi kepentingan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik nasional yang mendukung hasrat kebangsaan.

Ia juga, katanya, sejajar dengan objektif penubuhan UMNO untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara.

“Selepas meneliti kedudukan UMNO dan memperhalusi akan implikasi keputusan yang dibuat, terutama mengenai perkara berkaitan dengan soal kepimpinan, saya dengan segala rendah diri sambil memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden UMNO.

“Sebagai sebuah parti politik kaya dengan pengalaman saya yakin akan dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi tersebut,” katanya.

Menurut Ku Li, beliau juga mahu memastikan UMNO memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab terhadap negara yang sedang mengorak langkah ke persada dunia sebagai sebuah negara maju.

Ini merupakan kali kedua Ku Li bertanding untuk jawatan tertinggi itu selepas pernah melakukannya semasa pemerintahan beks presidenya Tun Dr. Mahathir Mohamad 31 tahun lalu.

Pun begitu, katanya, sebagai pemimpin UMNO, beliau akan terus menjaga dengan sepenuh hati akar umbi parti yang berasaskan kepada perjuangan melindungi budaya dan warisan Melayu yang cuba dipermudahkan oleh penjajah selepas perang dunia kedua.

Di sebalik perkara itu, kata Ahli Parlimen Gua Musang lagi, pihaknya akan menghormati hakikat kepelbagaian kaum yang diwarisi untuk mempastikan keharmonian kaum terjaga.

Ujar beliau lagi, UMNO akan terus memupuk dan menjaga sifat liberal demi memastikan Malaysia terus dihormati sebagai contoh baik mengenai keharmonian kaum.

Bekas Menteri Kewangan itu juga menjelaskan UMNO sensitif terhadap realiti politik pasca PRU14 dan sudah pasti akan menyesuaikan diri demi mempastikan kami akan terus relevan.

“Untuk maksud ini UMNO di bawah kepimpinan saya akan memuat perubahan penyesuaian jikalau dianggap perlu.

“Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara demokrasi kita telah mencapai tahap kematangan yang membanggakan dan ia memerlukan pemimpin  matang politik.

“Begitu juga halnya dengan UMNO. Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli UMNO pada 19632, tidaklah keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat memahami akan selok belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan.

“Kepada saya ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawarkan dirinya bagi tugas kepimpinan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast