KUALA LUMPUR – Hampir empat tahun menjadi penghuni Pusat Penjagaan Sri Mesra, Nek Fatimah, 81 tidak pernah berduka dengan nasibnya yang kini sebatang kara di dunia ini.
Beliau sebaliknya sangat bersyukur kerana diberi peluang bersama-sama rakan-rakannya yang lain untuk menikmati sisa-sisa kehidupan mereka dengan orang yang sudi menjaganya.
“Buat apa nak sedih, nenek di sini ada kawan-kawan. Semua ada di sini kan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pernah berkahwin lebih 20 tahun yang lalu tetapi tidak dikurniakan zuriat dengan arwah suaminya, Nek Fatimah yang berasal dari Perak gembira masih lagi diberi kesempatan menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk kesekian kalinya di pusat jagaan ini ketika umurnya kini mencecah 81 tahun.
“Setiap kali hari raya, kami semua di sini kumpul makan-makan, nyanyi,” tambahnya.
Seorang yang ceria dan petah berkata-kata, Nek Fatimah bersyukur kerana bukan sahaja dapat menjalankan ibadah setiap hari malah diberi ruang untuk berteduh sehingga hari ini walaupun tidak mempunyai sesiapa.
“Nenek sudah tidak ada sesiapa, adik beradik sudah tidak ada. Di sini nenekbukan sahaja diurus malah sembahyang pun tak tinggal, semua waktu terjaga, kadang ada ceramah agama dan kami boleh berjemaah bersama,” tambahnya lagi.
Fatimah menjadi penghuni Pusat Jagaan Sri Mesra sejak empat tahun yang lalu atas faktor tidak mempunyai ahli keluarga. -MalaysiaGazette