RUSIA – Kejohanan Piala Dunia Rusia 2018 mencipta sejarah apabila sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan pertama kali dalam aksi Perancis bertemu Australia petang tadi.
Bagaimanapun teknologi tersebut menimbulkan kontroversi besar dalam keputusan perlawanan itu.
Antoine Griezmann membuka jaringan Perancis pada awal babak kedua menerusi penalti yang diberikan berikutan keputusan kontroversi VAR selepas jatuh diterjah oleh Josh Risdon.
Pada mulanya pengadil perlawanan tidak mahu menghadiahkan sepakan penalti walaupun pemain Perancis terus memprotes dan perlawanan diteruskan.
Tetapi ia kemudian dirujuk dan pengadil menghubungi bantuan pengadil VAR yang kemudian meneliti ulangan video insiden terjahan itu.
Selepas penelitian, sepakan penalti diberikan kepada Perancis sekaligus mengejutkan pemain Australia sebelum Griezmann membuka gol pertama.
Pada masa yang sama penonton bola sepak yang turut melihat insiden itu mendapati tercetus kontroversi dalam keputusan VAR yang memberikan penalti.
Ada yang bersetuju dan ada yang mempertikaikan pengadilan sistem VAR dalam keputusan perlawanan itu.
namun majoriti penonton dalam twitter menyokong keputusan pengadil perlawanan tadi.
Bagimanapun Australia mendapat penalti selepas pemain Perancis menepis bola menggunakan tangan ketika cuba menanduk bola di udara.
Australia berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-62 namun ia tidak kekal lama.
Bintang Manchester United Paul Pogba menjaringkan gol kemenangan kedua pasukan Perancis pada minit ke-80 yang disahkan menerusi teknologi garisan gol.
Perancis antara pasukan pilhan juara piala edisi ke-21 kali ini bagaimanapun gagal mempamerkan perlawanan terbaik.
Pasukan itu walaupun dibarisi pemain bintang namun bergelut dengan The Kangaroos dan sekadar menang tipis 2-1 dalam aksi Kumpulan B itu.
Ia sekali gus mencetuskan persoalan sejauh mana pasukan itu mampu bertahan dalam kempen kali ini. – MalaysiaGazette