MOSCOW – Juara Piala Dunia lima kali, Brazil kini mampu menarik nafas lega apabila ayam tambatan mereka, Neymar boleh beraksi dalam perlawanan pertama Piala Dunia 2018 menentang Switzerland awal pagi esok.
MSN.com melaporkan, pemain paling bernilai itu telah kembali pulih sepenuhnya daripada pembedahan bagi merawat kecederaan kakinya yang patah pada Mac lalu.
Sejak mengalami kecederaan tersebut ketika bersama Paris Saint-Germain menentang Marseille pada Februari lalu, Neymar atau nama sebenar Neymar Dos Santos Da Silva hanya berada selama 129 minit di atas padang.
Walaupun sudah pulih daripada kecederaan, pengendali skuad Brazil, Tite memberi bayangan Neymar mungkin tidak akan diturunkan awal kerana dia masih belum cergas 100 peratus.
Minggu lalu, ketika bersama Brazil dalam perlawanan pemanas badan pemain itu masih boleh menjaringkan gol menentang Croatia walaupun masuk dari bangku pemain simpanan malah turut mempamer aksi menarik ketika meraih kemenangan ke atas Austria.
“Selepas tiga bulan berehat dan kembali bermain beberapa perlawanan, Neymar kini mampu beraksi dalam perlawanan di tahap tertinggi,” kata rakan baik Neymar, Thiago Silva. – MalaysiaGazette