KUALA LUMPUR – Tindakan Lim Kit Siang ‘menyerang’ Unit Komunikasi Strategik UMNO amat bercanggah dengan jaminan kepimpinan Pakatan Harapan bahawa mereka boleh ditegur.
Malahan tindakan Kit Siang menyerang ‘membabi buta’ adalah contoh sebenar perwatakan beliau yang angkuh dan mahukan semua orang di sekelilingnya hanya angguk dan patuh kepada skripnya.
Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam kenyataannya berkata, pertanyaan veteran DAP itu sama ada unit tersebut terbabit di dalam pendedahan ‘MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak’, seperti yang dinyatakan oleh seorang pemimpin UMNO sebenarnya tidak ada kena-mengena.
“Bahawa unit ini juga di bawah penguasaan Najib juga adalah tidak berasas kerana penyumbang tulisan dan ideanya datang dari pelbagai arah, termasuk ahli dan penggiat media sosial UMNO sendiri.
“Malah ada individu bebas – yang tidak berparti – turut menyumbang idea kepada unit ini, dan semuanya diamati dan diperhalusi terlebih dahulu sebelum siaran,” kata unit itu.
Unit tersebut juga memberita Kit Siang supaya tidak perlu ‘menelanjangkan’ siapa di belakang unit tersebut kerana mereka menerima banyak sumbangan dalam bentuk tulisan setiap hari, dan ia dibuat secara sukarela.
Sambil tidak menolak bahawa apa yang dinyatakan Kit Siang memang perlu diambil kira, namun, pemimpin DAP itu perlu terlebih dahulu melihat semula sejarah UMNO di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, serta DAP di bawah penguasaannya sendiri.
“Jika Kit Siang terlalu sibuk menyuruh orang lain meletak jawatan, kenapa beliau sendiri enggan meletak jawatan berikutan kemelut dalam DAP di dalam isu perlantikan CEC tahun 2012.
“Jika beliau terlalu ghairah untuk mempersoalkan siapa di belakang unit ini, beliau juga harus menjawab segala pertanyaan mengenai siapa sebenarnya di belakang tirai ‘Red Bean Army’, dan adakah mereka turut dibiayai?” soal unit itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahwa UMNO tidak pernah ingin tahu mengenai Red Bean Army dan siapa pembiayanya, selain tidak peduli apa sebenarnya motif Kit Siang menimbulkan perkara tersebut.
Ini kerana, katanya, Kit Siang sendiri pernah menegur isu ‘tanpa pertandingan’ jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO selepas pengharamannya sehingga tertubuhnya Parti Semangat 46 yang pernah beliau sendiri puji di zaman permusuhannya dengan Dr Mahathir.
Menurut unit tersebut, memang ada komplot dari luar cuba mempengaruhi pemilihan UMNO 30 Jun ini, khasnya Dr Mahathir sendiri yang dakwa mereka secara terang-terang mahu melaga-lagakan sesetengah pemimpin.
Malah, katanya, cubaan campur tangan Kit Siang sendiri dalam menentukan nasib masa depan UMNOP juga seolah-olah mahu melihat UMNO, satu-satunya parti orang Melayu ini, hancur.
“Apa sebenarnya niat beliau dalam ‘memberi perhatian’ terhadap hidup-mati Umno? Jika beliau melihat UMNO sebagai musuh, biarkan saja parti ini sendirian dan lawan secara anak jantan.
“Oleh itu, tidak perlulah beliau dan Dr Mahathir memberi nasihat tentang bagaimana UMNO harus dicorakkan. Sebagaimana unit komunikasi strategik ini hanya berpaksikan kepada ‘unison points’ untuk siaran, begitu juga kami tidak teringin untuk bertanya lebih lanjut mengenai apa sebenarnya peranan suara beliau dalam Kabinet,” katanya.
Unit Komunikasi Strategik berkata, Kit Siang sepatutnya cuci otak sendiri terlebih dahulu sebelum mempersoalkan orang lain.
Soalan-soalan yang dibangkitkan Kit Siang berkaitan UMNO, kata mereka, sebaik-baiknya diajukan kepada ‘kingmaker’ parti selama 22 tahun.
Unit Komunikasi Strategik, katanya, sama seperti suara DAP dalam Roket dan PAS melalui Harakah yang hanya melaporkan untuk parti masing-masing selepas mengumpul semua data daripada pemimpin.
“Oleh itu, tak perlu rasanya Kit Siang sibukkan diri dengan pertanyaan ‘orang tidak berilmu’ ini. Kami hanya unit media dan bukan pasukan penyebar fitnah dan bukan penghantar maklumat separuh benar,” katanya. – MalaysiaGazette