Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2018.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Harga perkhdimatan jalur lebar di negara ini dijangka menurun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, penurunan harga itu adalah berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Harga Capaian  (MSAP) bermula 8 Jun lalu.

Katanya, semua pihak terlibat masih dalam perbincangan penetapan harga borong jalur lebar.

“Saya difahamkan bahawa proses ini akan berakhir pada bulan Julai atau Ogos ini dan seterusnya pakej perkhidmatan jalur lebar  pada harga yang lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna.

“Dasar MSAP mengenakan harga siling borong  bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi di pasaran tempatan dan penurunan harga borong secara langsung akan mengurangkan harga pasaran pengguna,” katanya dalam sidang media di pejabat kementerian beliau di sini hari ini.

Tambah Gobind, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengkaji dasar berkenaan sejak awal tahun lepas dan semakan harga sepatutnya diperkenalkan pada 1 Januari lepas.

Pun begitu, katanya,  tidak dapat dilakukan ekoran rayuan Telekom Malaysia (TM) supaya mengkaji semula beberapa butir komponen harga.

“Bagaimanapun keputusan mengkaji semula harga jalur lebar ditangguhkan sementara menunggu  pertimbangan menteri bertanggungjawab ketika itu.

“Namun kini sejak saya menjawat jawatan ini sudah menegaskan langkah akan diambil untuk mengurangkan harga jalur lebar serta menambah kelajuan perkhidmatan tersebut ke tahap cemerlang.

“Ikut pendapat saya, kajian itu yang akan menurunkan harga pasaran jalur lebar, sepatutnya dilaksanakan. Saya harap  ia akan menurunkan harga ikut apa yang kita tetapkan sekarang,” tegasnya.

Ditanya mengenai peningkatan kelajuan khidmat jalur lebar setaraf dengan negara-negara maju dan serantau seperti Singapura, Thailand dan Vietnam, Gobind menjawab, langkah itu boleh dilakukan dan sebarang perkembangan berhubung usaha berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ia boleh dilakukan dengan butiran dan datang yang terperinci diperolehi sebelum satu tindakan diambil.

“Kita kalau boleh bukan setaraf sahaja, tetapi mahu memastikan pencapaian internet dan kelajuannya berprestasi lebih baik dan cemerlang daripada negara maju supaya kita menjadi negara contoh kepada dunia untuk meningkatkan kelajuan internet ke arah dunia digital yang makin berkembang pesat,” ujarnya.

Malah Gobind juga telah mengarahkan SKMM meneliti langkah lain yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar selain memantau harga jalur lebar di pasaran semasa supaya pakej permulaannya berpatutan untuk semua.

Ujar beliau, antara usaha murni kerajaan Pakatan Harapan untuk menjamin rakyat mengakses internet dan bermanfaat dengan menceburi bidang perniagaan digital.

“Kerajaan juga sedang mempertimbangkan isu akses kepada internet sebagai satu hak asasi di malaysia dan jika boleh dilaksanakan sebagai hak perlembagaan demi manfaat rakyat berdaya maju dalam eknomi digital,” jelas beliau.

Dalam pada itu, kementerian juga akan menjalankan pengauditan bebas ke atas dua kumpulan dana yang diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kata Gobind.

Menurutnya, kedua-dua kumpulan dana yang dimaksudkan ialah Dana SKMM (MCMC Fund) yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Fund) yang ditubuhkan mengikut Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2016.

“Saya telah menerima banyak pendapat dan perkara daripada orang ramai mengenai penggunaan dana oleh dua agensi tersebut.

“Maka saya rasa adalah perlu satu kajian lengkap dan terperinci harus dilakukan segera.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan pihak mana yang akan dilantik sebagai pengaudit  dan tempoh masa serta tempat dimana ia akan dijalankan dalam masa terdekat ini nanti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast