Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kesahihan pendedahan sebuah blog yang membongkarkan kekayaan luar biasa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menggalas jawatan Menteri Besar Selangor sejak 2014.

Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pendedahan blog milik seorang pegawai Mohamed Azmin itu merupakan perkara serius kerana kekayaan itu didakwa diperoleh melalui penyalahgunaan kuasa.

“Saya minta PDRM menjalankan siasatan ke atas kandungan laporan ini yang mendakwa kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh Mohamed Azmin, isteri, adik ipar dan proksi datangnya rasuah yang diterima.

“Diharapkan mereka terbabit ini dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya terdapat bukti yang kukuh,” katanya pada sidang media di Pandan Kapital, Pandan Indah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebuah blog milik seorang pegawai Azmin di toyolofselangor.wordpress.com yang disebarkan kepada petugas media menerusi aplikasi Whatsapp lewat malam tadi.

Blog berkenan turut mempersoalkan polisi tiada hadiah yang diuar-uarkan pimpinan negeri Pakatan Harapan, di sebalik kewujudan 54 akaun yang didakwa ditemui di beberapa negara.

Akaun-akaun ini berjumlah ratusan juta dalam mata wang yang berbeza telah dibuka di Malaysia, Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan Amerika Syarikat atas nama Mohamed Azmin.

Selain itu, blog itu turut mendakwa 47 akaun lain dibuka di atas nama isterinya, Shamsidar Taharin dan proksi Mohamed Azmin, Muhammad Gaddafi Kamal dengan 54 akaun.

Lokman berkata lagi, dakwaan pegawai Mohamed Azmin adalah sangat serius dan pihak polis perlu menyiasat segera kerana ia melibatkan seorang menteri besar.

“Ada 30 muka surat senarai akaun kekayaan luar biasa, ini satu dakwaan sangat serius yang melibatkan bekas Menteri Besar Selangor

“Kita pun tahu ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim letak jawatan di Selangor, beliau ada meninggalkan rizab negeri berjumlah RM1.6 bilion.

“Dalam masa sama kita tahu bagaimana pasir-pasir Selangor digondol sehingga menjejaskan alam sekitar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette