Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Jumlah aliran keluar pelabur asing minggu lalu melepasi RM1 bilion kepada RM1.89 bilion untuk kali kelima dalam tahun ini.

Setakat 22 Jun lalu, pelabur-pelabur luar pesisir telah melupuskan pegangan ekuiti sepanjang 33 hari berturut-turut sejak 2 Mei lalu – melepasi jualan berterusan yang direkodkan pada awal Januari hingga pertengahan Februari 2014.

MIDF Research berkata, dana-dana global yang paling banyak dijual pada hari Selasa pada jumlah RM555 juta, selari dengan kejatuhan terbesar FBM KLCI dalam 13 hari urus niaga pada 1.61 peratus.

Aktiviti jualan selepas itu di bawah paras RM400 juta dengan hari Rabu dan Khamis, masing-masing merekodkan sebanyak RM384 juta dan RM264.9 juta.

Walaupun penurunan secara beransur-ansur, FBM KLCI bergerak dalam arah yang bertentangan apabila ditutup pada paras paling rendah sejak Februari 2017 kepada 1,692 mata
pada hari Khamis dan menandakan hari ke-9 berturut-turut kerugian dipacu oleh kejatuhan saham Telekom Malaysia Berhad sebanyak 12 peratus selepas pengumuman penurunan harga perkhidmatan jalur lebar.

Penanda bursa itu meningkat sebanyak 0.11 peratus pada hari Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jualan asing merekodkan jumlah sebanyak RM444 juta pada hari yang sama berikutan pertikaian perdagangan antara Beijing dan Washington yang menjadi kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan luar ini eerus menjejaskan kadar aliran masuk dan keluar daripada Malaysia.

Tambahnya, penyertaan pelabur asing dalam bursa masih kekal aktif tetapi nilai dagangan purata harian asing (ADTV) susut 23 peratus dengan nilai melebihi RM1 bilion untuk
minggu ke-12.

Walaupun ADTV runcit berada di bawah RM1 bilion untuk minggu kedua pada RM865 juta, peruncit telah memasuki pasaran untuk enam minggu berturut-turut. – MalaysiaGazette