PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) supaya ia kekal relevan selain memberi manfaat kepada golongan pelajar dan belia.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, sistem TVET yang telah dilaksanakan selama ini gagal menarik minat dan kecenderungan pelajar dan terdapat keperluan ia diperkasakan.
Katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan meletakkan TVET di bawah satu kementerian bagi mengelak pertindihan daripada segi pengurusan.
“Kerajaan membelanjakan RM4.5 bilion melibatkan 7 hingga 8 kementerian menguruskan TVET ini, malangnya hanya 70 peratus yang mengikuti TVET dan selebihnya tidak mengikutinya kerana tak berminat.
“Ini satu-satunya perkara serius yang kami mahu tangani segera supaya TVET sentiasa menjadi akademik yang praktikal dan berkualiti untuk pelajar-pelajar keciciran supaya bermanfaat,” katanya dalam sidang media di kementerian beliau hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemerkasaan Pendidikan TVET, Nurul Izzah Anwar dan 28 wakil Gabungan Bertindak Malaysia yang dianggotai pelbagai organisasi dan NGO selain pemain industri.
Kulasegaran berkata, kerajaan sedar perbelanjaan yang dilaburkan dalam TVET selama ini tidak mendatangkan pulangan seperti yang diharapkan.
Sementara itu, Nurul Izzah memberitahu, pihaknya mahu memastikan TVET benar-benar membawa manfaat yang diharapkan untuk memajukan golongan pelajar dan belia.
Katanya, kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk dua bulan akan datang boleh membantu kerajaan mendapatkan penjelasan tentang kelemahan dan peluang industri revolusi 4.0.
“Kita tidak boleh sepenuhnya bergantung dengan kementerian sahaja semata-mata, berikan kami masa secukupnya untuk meneliti segala aspek dan ruang yang ada untuk mentranformasikan TVET sebagai kursus yang setaraf dengan program ijazah graduan universiti di masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette