Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR- Cadangan Tommy Thomas agar Jabatan Peguam Negara tidak mewakili mana-mana parti dalam mana-mana Petisyen Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan sebagai langkah awal memisahkan Pejabat Pendakwa Raya daripada jabatan itu.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman juga melihat ia sebagai usaha yang diperjuangkan oleh Majlis Peguam dan Peguam Negara yang sebelum ini menyatakan beliau bersetuju secara peribadi dengan cadangan ini.

“Perkara ini juga adalah selaras dengan janji Manifesto PH yang turut menekankan hal yang sama.

“Peguam Negara hanya akan bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan dan harus bertanggungjawab di Parlimen sementara Pendakwaraya pula bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga kepentingan orang awam dan kekal neutral.

“Langkah ini sudah diamalkan oleh beberapa buah negara seperti UK dan India. Namun, perkara itu hanya boleh direalisasikan sekiranya Peguam Negara bersedia dan Kerajaan PH benar-benar serius untuk melakukan perubahan dalam sistem perundangan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menggesa Tommy untuk menasihatkan kerajaan baharu untuk memulakan langkah itu dengan membentangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, Kanun Jenayah dan Akta Tafsiran dalam sidang Parlimen yang bermula 16 Julai ini.

Katanya, selaku anggota Parlimen beliau sentiasa menyokong sebarang transformasi undang-undang yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhanya.

Bagaimanapun jelas beliau, terdapat cara lain untuk memisahkan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya iaitu dengan melantik Peguam Negara sebagai Senator dan seterusnya Menteri Undang-Undang.

Menurut calon Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi UMNO itu, langkah tersebut akan membolehkan Peguam Negara bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Sementara itu, Peguamcara Negara boleh menjalankan tugas sebagai Pendakwaraya seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

“Saya juga mencadangkan Kerajaan menubuhkan semula Kementerian Undang-Undang dan diharap dapat dilaksanakan pada 2 Julai nanti,” ujarnya.

Azalina menjelaskan bahawa ia bukan langkah baharu tetapi sesuatu yang pernah dilaksanakan sebelum ini apabila Peguam Negara adalah lantikan politik sehingga tahun 1980, antara penyandangnya ialah Tan Sri Abdul Kadir Yusuf dan Tan Sri Hamzah Abu Samah.

“Sebagai bekas Menteri yang bertanggungjawab kepada Hal Ehwal Undang-Undang, saya turut menghadapi kekangan dalam menjawab soalan di Parlimen bagi pihak Jabatan Peguam Negara yang mana kebanyakan perkara adalah di bawah preprogatif Peguam Negara.

“Justeru, adalah penting kita mengubah perkara ini sebagai satu langkah ke depan selain berharap kerajaan baharu dapat meneruskan beberapa transformasi Undang-Undang telah dilakukan oleh kerjaaan terdahulu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette