Menteri Sumber Manusia, YB M. Kula Segaran (tiga kanan) diiringi Pengerusi PERKESO, Tan Sri Aseh Che Mat (dua kiri) dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Malaysia Commuting Accident and Road Safety Seminar di PICC, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2018
Menteri Sumber Manusia, YB M. Kula Segaran (tiga kanan) diiringi Pengerusi PERKESO, Tan Sri Aseh Che Mat (dua kiri) dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Malaysia Commuting Accident and Road Safety Seminar di PICC, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2018
PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memberi keutamaan serius untuk melaksanakan penguatkuasaan konsep 3E iaitu Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan dalam usaha mengurangkan kemalangan jiwa di atas jalan raya.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, konsep 3 E berkenaan perlu dilaksanakan secara bersepadu dan bukannya berasingan melibatkan semua pihak termasuk polis.
Katanya, faktor kejuruteraan adalah komponen penting dalam menyediakan jaringan jalan raya yang selamat dan berkualiti untuk pemanduan selesa dan terlindung untuk pemandu.
“Manakala konsep penguatkuasaan  yang dilaksanakan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan lebih memupuk pematuhan peraturan jalan raya secara tegas dan elemen Pendidikan untuk menyemai pembudayaan amalan keselamatan jalan raya yang seharusnya bermula dari tempat kerja dengan kerjasama majikan dan agensi berkepentingan.
“Ia penting kerana kita dapat melihat kelemahan dalam penguatkuasaan tiga elemen ini secara lebih serius sebelum ini, maka tiba masanya kita menjalin kerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengurangkan kemalangan dan membangukan tenaga kerja yang sihat yang disasarkan.
“Trend kemalangan semasa bekerja semakin meningkat dan membimbangkan apabila sepanjang 10 tahun lalu sejak 2008, sebanyak 75 peratus kes kemalangan semasa berulang alik ke tempat kerja direkodkan,” katanya dalam ucapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Beliau hadir merasmikan Seminar Keselamatan Jalan Raya dan Kemalangan Semasa Berulang Alik ke Tempat Kerja 2018 di sini yang akan berlangsung sehingga esok.
Katanya, statistik terbaharu menunjukkan sebanyak 69,980 kes kemalangan dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2017.
Jelas beliau, daripada jumlah tersebut 47 peratus  atau 33, 319 kes adalah melibatkan kemalangan perjalanan semasa berulang alik ke tempat kerja.
“Malah daripada jumlah ini juga. terdapat 667 orang pekerja maut akibat kemalangan perjalanan berbanding 257 kematian akibat kemalangan di tempat kerja.
“Angka ini suatu yang membimbangkan kerajaan kerana secara purata tiga kematian pekerja dilaporkan kepada Perkeso dalam sehari,” ujar beliau.
Beliau juga menegaskan setiap individu perlu mempunyai kesedaran diri dan berhemah semasa menggunakan jalan raya.
“Walaupun sehebat mana kualiti jalan raya dan juga kenderaan yang dipandu, penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang menentukan nasib mereka dan faktor kesilapan manusia merupakan penyumbang utama kemalangan jiwa.
“Perkeso membelanjakan RM800 juta hingga RM900 juta setahun untuk menanggung pampasan pencarum kami dan bagi tahun ini RM5.8 juta disediakan untuk berusaha mengurangkan kadar kemalangan itu.
“Ia digunakan untuk mempertingkatkan lagi kempen dan aktiviti pencegahan dan pendidikan dengan rakan strategik untuk memperluaskan kesedaran keselamatan dan kesihatan dalam kalangan golongan pekerja,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast