Sebahagian petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung berhampiran kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JUN 2018
Sebahagian petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung berhampiran kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Langgak Duta yang merupakan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali menjadi perhatian apabila mula dibanjiri wartawan dalam dan luar negara malam ini.

Ini berikutan desas desus yang mengatakan Najib berkemungkinan akan ditahan pihak berkuasa pada bila-bila masa berikutan mempunyai ‘bahan bukti’ yang mencukupi dalam kes penyewelengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khabar angin yang pada mula tersebar seawal jam 6 petang tadi juga menyebabkan para pengamal media kembali ‘berkampung’ di luar kediaman Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat ini jam 11.40 malam ini, sekurang-kurangnya lebih 30 pengamal media dari pelbagai organisasi selain orang awam kelihatan teruja berdiri luar sambil mengambil swafoto kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Malah sebentar tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadhil dikatakan turut membuat lawatan mengejut selama beberapa minit luar rumah Najib sebelum meninggalkan kawasan tersebut pada jam 11 tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menafikan sebarang maklumat berhubung tangkapan pada malam ini.

Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh juga memaklumkan, pihaknya tidak membuat sebarang tindakan terhadap kediaman dan individu tersebut.

Bagaimanapun, beliau akan mengadakan sidang media tentang status penyiasatan 1MDB jam 11 pagi esok.

Najib dan Rosmah Mansor ketika ini sedang disiasat oleh SPRM berhubung skandal penyelewengan SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

Dalam pada itu, menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy ketika dihubungi berkata, tangkapan pada malam ini tidak benar serta ‘di cipta’ oleh media Cina.

“Semua orang pergi balik tidur. Tidak ada sebarang arahan tangkapan. Sila semak dari mana anda dapat maklumat sebegini.

“China Press, mana dapat maklumat ini? Semua ini ciptaan China Press,” katanya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast