BANGI – Usaha membawa balik pesalah Malaysia yang berada di Australia boleh dimudahkan dengan mengubah undang-undang negara berkaitan dengan hukuman gantung, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tambahnya, proses untuk membawa balik mana-mana pesalah dari negara ini juga perlu seiring dengan undang-undang negara luar khususnya yang tidak menetapkan hukuman mati.
Beliau berkata demikian merujuk kepada usaha kerajaan untuk membawa balik bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar dari Australia.
“Australia tidak boleh mengekstradisi banduan sebab Malaysia ada hukuman mati itu boleh dibincangkan tetapi kita kena ubah undang-undang negara,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis pelancaran Eduwaqf di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, keputusan menangguhkan hukuman kepada 17 pesalah dalam negara seiring dengan keperluan untuk membawa balik Sirul untuk menafi saksi kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.
Sirul melarikan diri dari Malaysia selepas dijatuhi hukuman mati pada tahun 2009 kerana membunuh Altantuya kini dalam tahanan Australia.
Dia sebelum ini mendakwa diarahkan ‘orang penting’ untuk membunuh Model Mongolia itu pada 2006.
Kerajaan Australia enggan mengekstradisi dirinya ke Malaysia kerana ia bertentangan dasar negara itu yang membantah hukuman mati ke atas pesalah jenayah berat.
Tambah beliau penangguhan tersebut merupakan perkara yang menjadi perbincangan dalam mesyuarat jemaah kabinet baru-baru ini, apabila kerajaan persekutuan yang baharu meneruskan penangguhan hukuman mati seperti yang kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan terdahulu.
“Dulu BN tunda kami pun tunda hukuman itu mereka.
“Hukuman gantung mati ini ditangguhkan kerana ini bertepatan kalau kita nak saudara Sirul balik ke Malaysia untuk menjadi saksi dan juga dikatakan sebab Australia tidak boleh ekstradisi sebab hukuman mati di Malaysia yang digunakan,”jelasnya.
Terbaru dikatakan Sirul mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, isi kandungan surat tersebut masih menjadi tanda tanya kerana ia masih belum sampai ke tangan Mahathir.-MalaysiaGazette