Seorang pemandu treler maut akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya itu melanggar sebuah lori membawa muatan batu bata dalam kemalangan di KM38.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), dekat Kulai, hari ini.
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu treler maut akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya itu melanggar sebuah lori membawa muatan batu bata dalam kemalangan di KM38.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), dekat Kulai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian pada 6.40 pagi itu menyebabkan Azlan Shamsuddin, 46, meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat.

“Kemalangan turut menyebabkan seorang penunggang motosikal, Mohd Arif Alang Ahmad, 29, cedera ringan manakala pemandu lori, Amsan Rafi’i, 54, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang dihubungi hari ini.

Dzulkhairi berkata kejadian dipercayai berlaku apabila Azlan yang memandu di lorong kiri gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar lori di hadapannya.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, muatan batu bata dari lori berkenaan jatuh di atas jalan dan terkena Mohd Arif yang turut menunggang motosikal di lorong sama.

Katanya mayat Azlan yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast