Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteranam Awam (KDNKA), Datuk Seri Dzulkifli Abdullah memberi tabik hormat semasa Majlis Pelancaran Ops Harapan di Plaza Starking Mall, Petaling Jaya, Selangor. foto: AFOQ RAZALI, 01 JULAI 2018.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteranam Awam (KDNKA), Datuk Seri Dzulkifli Abdullah memberi tabik hormat semasa Majlis Pelancaran Ops Harapan di Plaza Starking Mall, Petaling Jaya, Selangor. foto: AFOQ RAZALI, 01 JULAI 2018.

PETALING JAYA – Lebih 1,000 anggota polis akan terlibat dalam rondaan secara berjalan kaki di 23 kawasan tumpuan utama orang ramai di seluruh negara dalam menjamin keselamatan awam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, Op Harapan ini akan dilaksanakan di 11 buah negeri seluruh negara.

Katanya, Op Harapan berkenaan akan dilengkapi bantuan  elemen elemen jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteranam Awam (KDNKA) iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Marin dan Pasukan Gerakan Udara.

“Sebagai permulaan kita menempatkan lebih 1,000 anggota polis yang akan melakukan rondaan berjalan kaki di 23 kawasan di 11 negeri yang menjadi tumpuan utama masyarakat termasuk di Damansara dan Kajang.

“Pegawai-pegawai dan anggota dari cawangan polis di 23 kawasan akan membuat rondaan berjalan kaki bersama dengan anggota polis sedia ada dari kawasan itu sendiri tetapi majoritinya adalah pasukan FRU, PGA dan sebagainya.

“Ia akan memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap keberkesanan polis dalam mengurangkan peluang dan ruang yang ditagih penjenayah untuk melakukan jenayah samun dan sebagainya,” katanya dalam ucapan pelancarannya di Pusat membeli belah Starling Mall, Uptown Damansara di sini.

Dalam perkembangan sama, Dzulkifli menegaskan polis kali ini komited untuk mengurangkan atau meminimumkan peluang dan ruang penjenayah melakukan jenayah dengan bantuan masyarakat umum.

Katanya, di sesetengah kawasan rondaan sepanjang Julai ini, unit berkuda akan digunakan untuk melicinkan pencegahan jenayah dan rondaan setiap masa.

“Unit polis berkuda ini berkesan kerana bukan sahaja tinggi tetapi ketangkasan bertindak juga mampu menakutkan penjenayah untuk memasuki kawasan itu.

“Selain itu Unit rondaan udara iaitu helikopter dan dron juga akan digunakan sepanjang proses rondaan ini untuk melaksanakan pencegahan jenayah secara efektif.

“Kalau dulu ia melibatkan kos besar kerana memindahkan unit rondaan ini dari satu kawasan ke negeri lain tetapi kali ini setiap pasukan adalah dari kawasan itu sendiri,” katanya.

Malah katanya, selepas tempoh sebulan, Ops Harapan berkenaan mungkin diperluaskan ke kawasan lain, tetapi sebelum itu pihaknya akan melihat prestasi dan keberkesanannya.

“Keseluruhan indeks jenayah menurun tetapi persepsi rakyat adalah sebaliknya maka penempatan anggota yang ramai menerusi Ops Harapan membantu kita mengubah persepsi dan menambah keyakinan ke atas polis dan menjamin keselamatan.

“Sebelum lengkap sebulan rondaan ini (31 Julai), kita akan meneliti keberkesanannya, sama ada nak pindah kawasan dan sebagainya, yang pasti ia akan diteruskan tapi tak semestinya konsep yang sama dan kawasan juga akan berubah,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast