Fadillah Yusof
Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berharap penggantinya dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Sambil mengucapkan tahniah kepada menteri baharu, Baru Bian, beliau menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Selangau dari Sarawak itu bertepatan dengan keperluan rakyat negeri itu bagi memastikan projek mega Pan Borneo dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada YB Baru Bian yang telah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu dalam Kabinet Pakatan Harapan hari ini.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan PH kerana memilih wakil rakyat dari Sarawak untuk menggantikan tempat saya.

“Pelantikan wakil rakyat dari Sarawak bertepatan dengan keperluan bagi memastikan projek mega seperti Pan Borneo dapat diteruskan dan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berharap Baru dapat memastikan projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah diteruskan seperti yang dirancang serta diluluskan kerajaan terdahulu, demi kemudahan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Ini kerana, katanya, Pan Borneo tanpa tol itu bukan sahaja akan menghubungkan bandar utama di sepanjang Jalan Persekutuan di Sarawak dan Sabah, malah menjadi pemangkin kepada kemajuan bandar-bandar tersebut.

“Ia juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, menghubungkan pusat perindustrian seperti pelabuhan, kilang, pusat komersial di sepanjang jajarannya dan membolehkan peluang ekonomi diteroka di kawasan berpotensi.

“Projek ini turut menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat serta menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan antara bandar utama,” katanya.

Lebuhraya sejauh 2,325 kilometer itu, yang mempunyai empat lorong dua hala menghubungkan antara Sabah dan Sarawak melalui Brunei.

Ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos RM29 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast