KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, penangkapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan melibatkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor setakat ini.
Ujar beliau, hanya Najib yang ditahan setakat ini dan tidak melibatkan individu lain termasuk Rosmah.
“Jangkaan tiada penahanan lain dalam masa terdekat. Sama ada membabitkan Datin Seri Rosmah atau yang lain,” katanya menerusi Whatsapp.
Tambah beliau, kertas siasatan kes terhadap Najib sudah lengkap dan Peguam Negara, Tommy Thomas sudah bersetuju untuk mendakwa bekas perdana menteri itu esok.
“Kertas siasatan SRC International sudah lengkap dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk mendakwa Najib,” jelas Azam Baki lagi.
Najib ditahan ditahan pegawai penyiasat SPRM di kediamannya di Langgak Duta jam 2.35 petang tadi.
Menurut satu kenyataan Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.30 pagi esok.
Beliau dipercayai disiasat dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 21 Akta SPRM berkaitan pecah amanah oleh penjawat awam dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001. -MalaysiaGazette