Malaysia Social Media Week MSMW 2018 Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Bermula daripada seorang pendebat terbaik Asia kepada Menteri Belia dan Sukan pada usia semuda 26 tahun, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya dalam masa singkat.

Faktor adanya media sosial yang mempopularkan dirinya tidak dapat dinafikan.

Ini juga antara mengapa Majlis Media Sosial Malaysia (Social Media Chambers) yang menganjurkan Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2018 memilih Ahli Parlimen Muar itu menjadi ikon program tersebut.

Malah menurut Naib Presiden Majlis Media Sosial, Syed Khalid Aljuned, Syed Saddiq juga akan menjadi penceramah yang bakal berkongsi tentang pengalamannya menggunakan laman sosial media yang kini meletakkan dirinya pada kedudukan tinggi sekarang.

“Beliau (Syed Saddiq) bukan sahaja mempunyai gelaran menteri paling muda dalam kalangan jemaah menteri di Malaysia malah rata-rata amat teruja untuk mendengar cerita dan pengalaman beliau sehingga membawanya ke peringkat ini.

“Dan kita perlu akui, sosial media juga sudah tentu telah memainkan peranan penting dalam kehidupan beliau sehingga membawa kejayaan sebegini besar.

“Malah untuk pengetahuan saya, saya tidak pasti sejauh mana ianya benar. Mungkin esok kita boleh dengar beliau bercakap sendiri tentangnya.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mendapat sedikit tunjuk ajar daripada beliau dalam menggunakan media sosial satu ketika dahulu,” ujarnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

alt MGF02072018_SOCMED_09
Naib Presiden Social Media Chambers, Syed Khalid Aljuned.

“Menggunakan sosial media seperti Facebook, Twitter dan Instagram, bayangkan impak yang telah dibawa di negara ini sehingga merealisasikan ‘Malaysia Baru’. Semua ini sebenarnya hanya nyata kerana wujudnya sosial media.

“Oleh kerana itu, kita yakin ikon belia seperti Syed Saddiq yang juga mempunyai lebih sejuta pengikut dalam laman Instagramnya sahaja sebenarnya mampu membawa manfaat kepada golongan muda khasnya dalam peranan penggunaan media sosial juga boleh memberikan pelbagai faedah selain berjaya sekiranya digunakan dengan betul,” kata Syed Khalid.

Syed Saddiq merupakan pendebat terbaik Asia ketika mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kejohanan Debat Bersatu Asia di Bali, Indonesia.

Syed Saddiq mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang daripada UIAM dan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran peringkat master di universiti terkemuka dunia Universiti Oxford tetapi menolaknya.

Dalam pada itu, Syed Khalid berharap penganjuran MSMW kali ke-7 diharap akan dapat dimaanfatkan sepenuhnya oleh semua golongan terutamanya generasi muda.

“Saya sendiri berjaya dalam kehidupan hari ini kerana media sosial, sekiranya kita tahu bagaimana untuk menggunakan platform ini dengan baik, sudah tentu kejayaan itu dalam tangan.

“Oleh yang demikian, Majlis Media Sosial tidak pernah berputus asa sebaliknya berterusan melaksanakan program seperti ini malah kita sendiri di panggil oleh negara luar untuk menganjurkan program seperti ini.

“Malah para penceramah yang kita panggil juga bukan calang-calang orangnya dalam industri ini,” tegasnya.

Seramai 30 penceramah dari dalam dan luar negara ditampilkan menerusi MSMW 2015 antaranya dari India, Singapura, Filipina, Australia, Arab Saudi, Vietnam, Amerika Syarikat dan Malaysia.

MSMW 2018 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 Julai ini di di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan penyertaan setakat ini seramai 290 peserta pelbagai lapisan.- MalaysiaGazette

Baca Selanjutnya mengenai MSMW 2018

http://malaysiagazette.com/blog/2018/07/02/impak-lebih-besar-melalui-msmw-2018/