KUALA LUMPUR – Arahan tutup mulut (gag order) sementara kepada media oleh diperintahkan oleh Yang Arif Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak disifatkan tidak adil dan bertentangan dengan hak kebebasan media.
Menurut Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan, arahan keatas media itu nyata bertentangan dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada tiap warganegara untuk kebebasan bercakap dan bersuara.
“Kes ini adalah suatu kes yang berprofil tinggi dan mendapat perhatian seluruh dunia. Suatu perintah tutup mulut bercanggah dengan kebebasan media dan hanya akan menghukum media tempatan dan bukan media luar negara kerana bidangkuasa mahkamah yang terhad.
“Berkenaan dengan prejudis terhadap Najib sekiranya media melaporkan tentang kes ini, tidak dinafikan bahawa beliau tidak bersalah sehinggalah didapati bersalah oleh mahkamah. Beliau berhak membela diri untuk pertuduhan-pertuduhan terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah katanya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menggari bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan membenarkannya memakai pakaian sendiri ke mahkamah hari ini sangat dipuji dan disambut baik.
Syahredzan yang juga adalah seorang peguam berkata, perkembangan itu sangat positif dan berharap ia akan diteruskan tanpa mengira kedudukan seseorang di masa akan datang.
“Pemakaian gari juga tidak sepatutnya menjadi amalan tetap sekiranya individu yang ditahan adalah tidak berbahaya dan tidak akan melarikan diri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette