KUALA LUMPUR- Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan set istimewa SetemKu Khas sebagai tanda hormat sempena sambutan hari lahir Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir yang Ke-93.
Set Folder Edisi Terhad ini secara rasmi akan dikeluarkan pada hari 10 Julai ini.
Set istimewa itu berharga RM93 setiap satu dan dirangkumi dengan tiga reka bentuk setem yang memaparkan detik- detik bersejarah serta koleksi gambar Mahathir bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah.
“Pos Malaysia bangga dapat memberi penghormatan kepada ikon prolifik negara yang mendedikasikan seluruh hidupnya demi pemerkasaan negara dengan menghasilkan set istimewa ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishal Ishak.
Ishal juga memberitahu, selain daripada memberi penghormatan kepada Mahathir, jualan set setem itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi Tabung Harapan Malaysia di mana setiap RM5 daripada hasil penjualan akan disalurkan kepada tabung berkenaan.
Set Setem Ku itu dihadkan hanya 100,000 keping untuk setiap reka bentuk.
Set berkenaan boleh diperoleh di semua pejabat pos besar, pejabat pos terpilih dan di laman eziEmall.com.- MalaysiaGazette