Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) bersetuju untuk mewujudkan beberapa undang-undang dalam usaha membendung amalan rasuah di semua peringkat dalam kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagi tujaun itu anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) termasuk dalam kalangan jemaah menteri perlu mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta anggota Kabinet dianggap sebahagian daripada jentera pentadbiran yang tetap tertakluk di bawah undang-undang.

“Tetapi kami memutuskan bahawa perdana menteri dan timbalan perdana menteri adalah anggota pentadbiran bersama jemaah menteri yang mewakili parti pemerintah.

“Mereka tidak akan dikecualikan. Semuanya mesti mengisytiharkan harta serta pendapatan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, sebelum ini ada keputusan mahkamah yang memutuskan perdana menteri bukan penjawat awam.

Mengulas lanjut beliau berkata, pegawai kerajaan kadang kala terdedah dengan rasuah dan perkara-perkara tidak betul seperti ingin mendapatkan hadiah dan sebagainya.

Bagaimanapun, amalan itu selepas ini akan dilarang dan mereka perlu membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab sekiranya berdepan dengan situasi tersebut.

Dalam perkembangan sama Dr Mahathir berkata, undang-undang baharu itu turut melibatkan parti-parti politik yang mendapat dana daripada pihak tertentu.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan bagi megetahui dana yang diterima oleh parti tersebut merupakan daripada sumber yang bersih dan bukannya rasuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast