Antara individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana bergaduh di sebuah pub dan hospital pada hujung Jun lalu.
Antara individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana bergaduh di sebuah pub dan hospital pada hujung Jun lalu.

JOHOR BAHRU – Seramai sembilan individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merusuh dan menyebabkan kecederaan antara satu sama lain dalam kejadian di sebuah pub dan hospital di sini hujung Jun lalu.

Tertuduh adalah A. Haresh Kumar, 20; N. Mugenthan, 32; S. Nageshvaran, 28; U S Kasavan, 20; S. Suriya Pragas, 32; N. Sanmugam, 32; B. Jieva, 28; G. Raja Rao, 32 dan R. Chandramathan Rao, 24.

Semua mereka didakwa mengambil bahagian dalam satu pergaduhan dengan merusuh dan menyebabkan kecederaan antara satu sama lain di hadapan Pusat Hiburan Evolution di Jalan Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin di sini, kira-kira pukul 3.30 pagi pada 29 Jun lalu.

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman denda RM1,000 seorang selain turut memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tiga daripada mereka, Chandramathan, Kasavan, Mugenthandan seorang lagi individu, S.Ganapathiswaran, 32, mengaku bersalah terlibat dalam pergaduhan pada hari yang sama.

Mereka didakwa secara bersama dengan beberapa orang yang masih bebas melakukan satu gaduh gempur di hadapan Wad Kecemasan, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, kira-kira pukul 5 pagi.

Majistret Azureen Shahira Saufee Affandi kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM300 setiap seorang selain turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara sebulan, jika gagal membayar denda. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast