Teo Nie Ching
Teo Nie Ching bersama wakil SJKT Blue Valley mengenai kerja pembinaan yang tertangguh sejak Ogos 2016 di KPM Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Blue Valley di Cameron Highlands yang tertangguh sejak Ogos 2016 akan disiapkan segera.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching memberi jaminan itu setelah dimaklumkan pelajar sekolah rendah berkenaan yang masih tidak dapat belajar di sekolah baharu itu akibat kerja pembinaannya tertangguh.

Terdahulu, Nie Ching menerima kunjungan wakil sekolah berkenaan yang mana pembinaan sekolah tersebut yang sepatutnya selesai pada bulan Ogos 2016 telah ditangguhkan hampir dua tahun dan memberi kesan negatif kepada para pelajar yang terlibat.

“Kementerian akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap masalah penangguhan ini supaya isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, masalah penangguhan kerja pembinaan sekolah itu adalah disebabkan oleh keperluan pembinaan paip yang memerlukan kos tambahan.

“Keperluan ini adalah wajib untuk mendapatkan kelulusan keselamatan infrastruktur sekolah tersebut supaya para pelajar dapat belajar dalam suasana yang selamat,” ujar beliau lagi.

Teo Nie Ching sebelum itu mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Lembaga Pengelola Sekolah itu, K. Perumal yang melawat beliau di pejabat Timbalan Menteri di sini.

Isu itu dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata,  Chiong Yoke Kong ke perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast