Manchester United menjemput kesemua 12 pemain pasukan bola sepak Wild Boars untuk menyaksikan perlawanan di Old Trafford.
Arkib Pasukan bola sepak Wild Boars yang terperangkap dalam gua Tham Luang.

LONDON – Berita gembira buat kesemua 12 pemain pasukan bola sepak Wild Boars termasuk jurulatih yang berjaya diselamatkan dari sebuah gua di utara Thailand apabila Manchester United menjemput mereka untuk menyaksikan perlawanan di Old Trafford pada musim baharu nanti.

Pengumuman itu dibuat menerusi Facebook rasmi The Red Devils malam tadi.

“Manchester United melahirkan rasa syukur dan gembira kerana kesemua 12 pemain dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua di Thailand telah selamat.

“Kami ingin menjemput pasukan dari Wild Boars ke Old Trafford pada musim ini,” menurut kenyataan MU.

Ahad lalu, operasi menyelamat budak bola dan jurulatih mereka bermula dengan empat mangsa pertama berjaya dibawa keluar pada hari yang sama.Kelmarin, empat lagi mangsa dibawa keluar dengan selamat dan semalam operasi menyelamat di gua Tham Luang berakhir selepas baki lima mangsa berjaya diselamatkan.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino turut mengundang kesemua mereka ke Moscow bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.

Bagaimanapun, idea itu mendapat bantahan doktor kerana semua remaja terbabit perlu berada di hospital sekurang-kurangnya seminggu untuk memastikan mereka pulih sepenuhnya. – MalaysiaGazette