KUALA LUMPUR – Low Taek Jho atau Jho Low didapati sudah melarikan diri ke destinasi tidak diketahui dan tidak lagi berada di Macau, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini.
Kata beliau, maklumat itu diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi surat e-mel daripada pihak berkuasa Macau.
“Kami ada terima e-mel dari Macau pada 9 Julai lalu memaklumkan Jho Low sudah tinggalkan Macau dan menuju ke destinasi tidak diketahui,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Derma Darah bersempena sambutan Peringatan hari Polis Ke-211 bertemakan ‘Jom Derma Darah, Tiada Cuti Untuk Darah’.
Katanya, pihak berkuasa Macau juga tidak menyatakan dalam e-mel itu destinasi yang dituju Jho Low.
“Mula-mula kami hantar pegawai ke Hong Kong untuk tahan Jho Low tapi dia dikatakan berlepas ke Macau.
“Pada 20 Jun lepas pula, dia dikatakan sudah meninggalkan Macau. Namun tarikh dia meninggalkan Macau tidak dimaklumkan dalam e-mel itu tapi kami sudah berhubung dengan rakan Interpol untuk mengesan kedudukannya,” tegasnya.
Sebelum ini, Mohamad Fuzi memaklumkan PDRM sedang menunggu isyarat polis Macau untuk menangkap individu itu setelah ahli perniagaan yang dikehendaki dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad dikatakan ada di Macau.- MalaysiaGazette