Mediu
Ketua Eksekutif Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu), Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen.

Pix Afiq. mohon tukar nanti. tq

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (Mediu) kini bebas daripada fahaman wahabi yang didakwa oleh sesetengah pihak bermula tahun 2016.

Ketua Eksekutif Mediu, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, pihaknya telah menerima surat pengesahan daripada empat agensi selepas semakan silibus akidah dibuat bermula Mac tahun lalu.

Beliau menjelaskan, agensi tersebut adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Mediu telah menerima surat pengesahan secara resmi daripada Ketua Polis Selangor yang mewakili PDRM dan Pengerusi MAIS yang mengizinkan Mediu terus kekal beroperasi sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi.

“Surat itu menafikan kewujudan unsur  negatif yang menjurus kepada faham wahabi, radikal dan ekstremis di dalam silibus pengajian dan aktiviti di Mediu.

“Keputusan daripada KDN juga telah diperolehi iaitu dengan memberi kebenaran semula kepada Mediu mengambil pelajar antarabangsa.

“Penarafan Mediu juga telah disenarai kembali di dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai layak memohon jawatan dalam perkhidmatan awam kepada lepasan Mediu melalui kursus-kursus yang telah mendapat akraditasi penuh MQA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kampus utama Mediu di Desa Petaling hari ini.

Pada Mac 2016, Mediu dibelenggu dakwaan terlibat dengan aktiviti pengajaran yang dikaitkan dengan penyebaran fahaman Wahabi atau ajaran Syiah selain isu silibus radikal dan ekstremis.

Mengulas lanjut, Ismawi memberitahu, Mediu kini telah membuka pendaftaran untuk sesi pengambilan baharu pada September ini dan menyasarkan lebih 1,000 pelajar baharu.

Jelas beliau, sasaran itu mampu dicapai memandangkan tidak wujud lagi sebarang kekeliruan berkaitan status uiniversiti serta kemudahan kampus yang lebih selesa di kampus baharu.

Katanya, kampus yang terletak di Desa Petaling itu mampu memuatkan lebih 5,000 pelajar dengan kemudahan lengkap sebagai kampus utama universiti.

“Mediu yang baru sahaja menginjak usianya ke-10 tahun telah mencapai beberapa perkembangan yang memberangsangkan dan ketika ini menawarkan 123  kursus  akademik dengan 81 daripadanya telah memperolehi akreditasi penuh dari MQA.

“Mediu berasa berbangga dan bertuah menjadi sebahagian daripada agensi yang berperanan merealisasikan cita-cita kerajaan Malaysia iaitu ‘Mengantarabangsakan Pengajian Tinggi’ selaras dengan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagau Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi di peringkat dunia,” katanya. – MalaysiaGazette