Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diminta melakukan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci berhubung kes kematian Pegawai Kadet Graduan (PKG), J. Soosaimanicckam ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei lalu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam kenyataan medianya hari ini, turut memberi jaminan siasatan kes itu akan dijalankan secara bebas dan adil.

“Saya memberi jaminan siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang ‘cover up’. Saya juga merayu agar pihak keluarga mendiang bersabar dan menunggu sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ada pihak yang terlibat dalam salah laku sehingga menyebabkan kematian PKG J Soosaimanicckam.

Semalam, keluarga PKG, J. Soosaimanicckam menuntut TLDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan terperinci berhubung kematian pegawai kadet berkenaan.

Peguam keluarga mendiang, N. Surendran berkata, timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair, sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.

Portal berita tempatan pada 20 Mei melaporkan Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman sebagai berkata, siasatan forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat paru-paru berair dan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal. – MalaysiaGazette