KUALA LUMPUR – Matahari dijangka berada tepat di atas Kaabah di Mekah pada pukul 5.27 petang Isnin ini, justeru umat Islam berpeluang memastikan arah kiblat yang betul pada waktu tersebut.
Planetarium Negara dalam kenyataannya berkata, ketika matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran matahari bagi semua objek yang ada di permukaan bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah.
Ia sekaligua boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semulajadi, katanya.
Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak yang dapat menunjukkan bayang-bayangnya apabila terkena sinaran matahari pada waktu itu.
Tiang juga boleh didirikan di kawasan bersesuaian dan memastikan tiang berkenaan betul-betul tegak dengan menggunakan peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan sekiranya tiada objek tegak, selain berpandukan pinggir dinding bangunan yang betul-betul tegak untuk mencari bayang-bayang matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.
“Tepat pukul 5.27 petang dan sekiranya cuaca baik, yang anda dapat melihat bayang-bayang matahari daripada tiang yang anda dirikan atau daripada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain, anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis atau diguris,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, garisan yang telah berjaya dilakar itulah yang merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika mereka berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah matahari terbenam.
“Orang ramai hendaklah memastikan garisan yang telah dilakar itu dapat dikekalkan tanpa sebarang gangguan atau usaha untuk memadamkannya bagi rujukan pada masa hadapan.”
“Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkanlah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau di masjid dan surau. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, katanya, Planetarium Negara akan menganjurkan Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-bayang Matahari pada Isnin ini mulai pukul 4 petang hingga 6 petang.
Program yang diadakan di hadapan pintu masuk Planetarium Negara itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada awam kaedah menentukan arah kiblat melalui pencerapan bayang-bayang matahari. – MalaysiaGazette