KUALA LUMPUR – Selepas empat hari menjalani pembedahan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sedang berehat.
Menurut Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim, beliau bagi pihak keluarga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengucapkan terima kasih di atas doa kepada Muhyiddin.
“Menteri Dalam Negeri telah selamat menjalani pembedahan pada hari Khamis lalu. Beliau sekarang berada dalam keadaan baik dan sedang berehat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada pankreas yang telah dikesan pada peringkat awal oleh doktor pakar.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut hospital mana tempat Muhyiddin menjalani pembedahan atas permintaan keluarga yang mahukan beliau berehat daripada menerima kunjungan. – MalaysiaGazette