Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker), Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof pagi ini tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 4(1), kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, peraturan itu mensyaratkan pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum hari mesyuarat, hari ini.

Ini kerana, menurut beliau, kenyataan media oleh beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk menteri menunjukkan 2 Julai iaitu 14 hari sebelum sidang pada hari ini tiada keputusan lagi di pihak kerajaan PH untuk menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Pada 6 Julai lalu, (Tan Sri Dr) Rais Yatim menyatakan kesediaan untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat. Kemudian pada 8 Julai pula, portal Malaysiakini melaporkan Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Sekretariat PH, menyatakan cadangan Speaker baru sahaja disenarai pendek dan setiap parti komponen PH telah mencadangkan calon masing-masing.

“Pada 10 Julai pula, (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) dalam Malaysiakini menyatakan, semalam (11 Julai) pemimpin PH telah memuktamadkan satu nama bagi jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan mengulas tindakan pembangkang keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan Speaker.

Hari ini adalah hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen Ke-14 sempena majlis mengangkat sumpah Ahli-ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat.

Barisan Nasional (BN) dan Pas bertindak sebagai pembangkang di Sidang Dewan Rakyat selepas kalah dan gagal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.

Menurut Dr Mohd Khairuddin, pada Rabu lalu, akhbar New Straits Time Press (NSTP) melaporkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, menolak tawaran jawatan Speaker Dewan Rakyat dan turut memaklumkan perkara itu kepada Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR.

Katanya, ini menunjukkan cadangan Yang Dipertua Dewan belum dimuktamadkan oleh PH pada hari berkenaan.

“Walaupun Setiausaha Dewan Rakyat ketika berucap menyebut, cadangan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat telah dihantar secara bertulis pada 2 Julai lalu, namun ia tidak disokong oleh fakta kenyataan menteri-menteri dalam isu terbabit.

“Pas menegaskan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipatuhi apatah lagi melibatkan pemilihan Yang Dipertua kerana ia melibatkan keabsahan sidang Dewan Rakyat untuk seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, PH perlu menonjolkan contoh permulaan yang baik di awal sidang Dewan Rakyat sebagai memenuhi tuntutan mereka selama menjadi pembangkang sebelum ini agar kerajaan mengikut segala peraturan mesyuarat.

Berdasarkan asas ini, ujar beliau, Ahli-ahli Parlimen Pas mengambil tindakan keluar daripada Dewan Rakyat pada awal sesi pemilihan Yang Dipertua Dewan sebagai tanda protes dan seterusnya mengadakan sidang media menjelaskan sikap parti dalam isu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast