Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman terhadap Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman terhadap Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman terhadap Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abd Hamid.

Loke bersama Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, yang turut hadir pada prosiding hari ini bertindak bagi pihak Thomas, Mohd Shukri dan Amar Singh selaku responden.

Loke berkata mahkamah membenarkan saman itu ditarik balik dengan kebebasan untuk Najib memfailkan tindakan saman yang baharu.

Sementara itu, peguam Badrul Hisham Abdullah yang mewakili Najib ketika dihubungi pemberita mengesahkan penarikan balik saman itu.

Badrul Hisham berkata pihaknya menarik balik saman itu kerana ia difailkan sebelum Najib dituduh atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Julai lepas.

Peguam itu memberitahu pihaknya akan membuat pelarasan berkenaan kes saman sebelum mengemukakan saman baharu berikutan senario semasa selepas pertuduhan dikenakan terhadap Najib.

Pada 30 Jun lepas, Najib memfailkan tiga saman pemula ex-parte (sebelah pihak) secara berasingan bagi memohon deklarasi bahawa pembabitan ketiga-tiga individu itu selaku responden dalam penyiasatan 1MDB adalah tidak sah dan memprejudiskannya selain memohon kos dan perintah lain yang sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongan yang dikemukakan bersama saman itu, Najib mendakwa Thomas, semasa belum dilantik sebagai Peguam Negara, telah menulis sebuah artikel bertajuk ?Grand Lacerny in 1MDB’ pada Julai 2016 dan merumuskan bahawa wang dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri ketika itu adalah wang 1MDB.

Najib mendakwa, pendirian Thomas melalui artikel itu jelas tidak menyukainya dan melahirkan kebimbangannya bahawa Thomas akan mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan terhadapnya dengan apa alasan sekalipun selain mendakwa Thomas tidak sepatutnya terlibat dalam siasatan 1MDB.

Bagi saman terhadap Mohd Shukri pula, Najib, yang juga bekas presiden UMNO mendakwa Mohd Shukri telah membuat sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd sebaik dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan merumuskan bekas perdana menteri itu menerima sejumlah RM42 juta dan RM2.6 bilion sedangkan ketika itu beliau (Najib) belum dipanggil memberi keterangan di SPRM.

“Kenyataan media dibuat Mohd Shukri berunsur dendam dan lebih malang menggambarkan saya sebagai seorang pesalah. Dengan itu, integriti dan profesionalisme beliau boleh dipertikaikan kerana beliau seharusnya bersikap neutral sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi memilih untuk menghukum tanpa asas yang kukuh,” kata Najib dalam afidavit sokongannya.

Najib turut mendakwa beliau tidak akan mendapat satu siasatan yang adil dan telus serta percaya sikap yang ditonjolkan Mohd Shukri tidak melayakkan beliau mengetuai pasukan penyiasatan SPRM dan sebagai anggota pasukan petugas khas 1MDB yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Dalam samannya terhadap Amar Singh, Anggota Parlimen Pekan itu mendakwa serbuan yang dilakukan Amar Singh bersama pasukannya di beberapa premis milik beliau termasuk premis didiami anak-anaknya di Pavilion Residence serta premis yang dipinjam daripada seorang rakan untuk menempatkan barangan yang dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana tidak memenuhi Prosedur Operasi Standard.

Pemohon turut mendakwa Amar Singh tidak layak untuk menjadi penasihat kepada pasukan penyiasatan khas 1MDB selain mendakwa laporan polis telah dibuat secara berasingan terhadap ketiga-tiga responden (Thomas, Mohd Shukri dan Amar Singh).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast