KUALA LUMPUR – Selepas tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar parti sebaik kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 kedengaran ura-ura Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz pula ‘melompat’ ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Khabar angin itu mendakwa Ikmal Hisham yang baru menang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan parti 30 Jun lalu, dikatakan bakal menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 29 Julai ini.
Pada PRU-14 lalu, dalam pertandingan tiga penjuru, beliau menang dengan majoriti 2,929 undi mengalahkan calon PKR, Mohamad Fauzi Zakaria (4,747 undi) dan calon Pas, Johari Mat (25,223 undi).
Bagaimanapun, kekalahan teruk BN di peringkat nasional sehingga terpaksa melepaskan pusat pentadbiran Putrajaya kepada Pakatan Harapan (PH) mendorong beberapa Ahli Parlimen bertindak keluar parti menyertai PPBM, PKR dan Bebas.
Namun, bagi menafikan khabar angin itu, yang bertiup kencang di bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham tampil membuat kenyataan ringkas.
“Kepada semua pejuang UMNO, jangan percaya propaganda dan fitnah tersebut. Kita semua mesti istiqamah dan kekal dalam parti UMNO yang banyak berjasa dan berbudi pada bangsa dan agama kita. Jangan mudah terpedaya dan mudah percaya… 100% tak betul, salam. Ikmal,” katanya dalam kenyataan balas berhubung khabar angin itu, semalam.
Sebelum ini, isteri Ikmal Hisham, Norihan Ayob menerusi akaun Facebooknya turut berkongsi satu posting dari netizen yang bertanyakan perkara itu.
“Berita panas, YB Ikmal Hisham Ahli Parlimen Tanah Meraka dijangka mengumumkan keluar UMNO pada 29 (Julai) ini dalam satu program yang akan dihadiri oleh YB DS Mukhriz Mahathir di Machang. Betul ke?
Katanya, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan meminta orang ramai serta pihak tertentu tidak mempercayainya.
Ketika BN masih berkuasa, nama Ikmal Hisham pernah disebut untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri di sebuah kementerian dalam rombakan kecil yang menyaksikan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat dari UMNO.
Bahkan, nama Ikmal Hisham juga pernah disebut-sebut bakal mengetuai Badan Perhubungan UMNO Kelantan menggantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed, tetapi perkara itu tidak berlaku. – MalaysiaGazette