KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenaan merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama sidang parlimen ke-14 hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka sekitar pukul 9.59 pagi di Dataran Parlimen disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof dan Yang diPertua Dewan Negara Tam Sri S.A. Vigneswaran.
Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Baginda kemudian diiringi ke Peterana Diraja melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti sembah ‘hormat Diraja’ oleh Pasukan Kawalan Kehormat Utama, Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya.
Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti dengan tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dimainkan.
Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.
Selesai istiadat berkenaan, Sultan Muhammad V diiringi ke Bilik Diraja bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian persidangan kali ini.
Persidangan Dewan rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos ini sementara Dewan Negara bersidang selama 11 hari bermula 27 Ogos hingga 13 September 2018. – MalaysiaGazette