Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi presiden.

Justeru, beliau hanya akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR yang disandangnya sahaja.

Perkara itu disahkan disahkan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham kepada media di lobi Parlimen hari ini.

“Ya (Mohamed Azmin tak bertanding) sekiranya Anwar  bertanding jawatan Presiden PKR.

“Saya cukup pasti Datuk Seri (Mohamed) Azmin (Ali) akan menjadi orang di belakang beliau (Anwar) yang akan sentiasa bersama beliau untuk menerajui PKR,” katanya.

Anwar pada Ahad lalu berkata beliau akan bertanding pada pemilihan parti akan datang dengan menawarkan diri sebagai presiden bagi menggantikan isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Presiden PKR buat masa ini.

Dalam pada itu, Hilman berkata, nama Azmin muncul sebagai calon Presiden PKR adalah perkara biasa dalam mana-mana pemilihan parti politik.

“Kesetiaan Azmin kepada perjuangan PKR dan kesetiaan beliau kepada Anwar itu bagi saya tiada taranya dan sama sekali tidak boleh dipertikaikan.

“Dalam hal ini saya kira selepas pengumuman Anwar untuk bertanding jawatan Presiden PKR, saya pasti (Mohamed) Azmin menyambut baik kenyataan itu,” katanya.

Gandingan Anwar dan Azmin, kata Hilman, satu kombinasi yang mantap dan boleh dikatakan sukar ditewaskan. -MalaysiaGazette

Azmin bakal tanding Presiden PKR?