Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sama ada memberi manfaat atau membebankan wajar dihakimi rakyat.

Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat akan nampak dan ‘merasa’ sendiri impaknya pada September ini.

“Tidak guna kita bercakap mengenainya (SST). Kita biar rakyat untuk menjadi hakim dalam isu ini, sudah tentu mereka akan nampak adakah dengan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan terdahulu.

“Kini kerajaan baru kenalkan SST dengan 10 peratus untuk cukai jualan dan enam peratus lagi perkhidmatan. Rakyat boleh mula bandingkan harga terdahulu dan nanti ketika itu. Lihat jika ianya membebankan atau sebaliknya.

“Apapun, inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dahulu atau kini, sudah tentu untuk memberi yang terbaik kepada rakyat pada akhirnya. Oleh yang demikian, kita lihat bagaimana rakyat membuat perbandingkan terlebih dahulu dalam masa beberapa bulan ini.

“Adakah benar dakwaan harga barangan sudah turun seperti yang didakwa,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Annuar mengulas  pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang meminta UMNO dan Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bagaimana SST membebankan rakyat berbanding pelaksanaan GST apabila SST hanya menjana pendapatan RM21 bilion berbanding RM44 bilion dikutip GST.

Guan Eng dalam kenyataannya turut menyatakan kenyataan yang disebarkan UMNO bahawa SST membebankan berbanding GST adalah tidak masuk akal dan mengelirukan.

Sejak pengumuman itu dibuat, rata-rata netizen melalui laman sosial meluahkan rasa tidak puas berikutan peratusan itu jauh lebih tinggi berbanding GST yang dikenalkan oleh kerajaan BN.

Malah pemahamaan rakyat berhubung SST juga dianggap tidak begitu jelas dan difahami malah menganggapnya ia pada kadar 16 peratus. – Malaysia Gazette