KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd Shahar Abdullah menasihatkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi agar memberikan masa kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membimbing Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Menurut beliau, bukan mudah untuk BN selesa dengan kedudukan sekarang malah memerlukan iltizam yang tinggi untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan PH.
“Beri peluang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid yang baru sahaja 19 hari mengemudi parti untuk menggunakan caranya tersendiri dalam menghadapi pelbagai isu yang sedang melanda UMNO kini.
“Dengan akaun parti yang masih dibekukan oleh SPRM, Presiden dan penjawat parti juga terpaksa mengihtiarkan kos lain untuk menggerakkan rancangan serta manifesto parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar merujuk kepada kenyataan terbaharu Puad yang mahu Presiden UMNO itu menjelaskan mengenai hala tuju parti selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
Puad berpendapat jika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu beterusan membisu maka beliau akan dilihat sebagai pemimpin yang tidak mampu memenuhi tuntutan ‘UMNO Bangkit’.
Puad merasakan Ahmad Zahid perlu mengemukakan tawaran baru kepada UMNO dan rakyat namun dalam masa sama menerima hakikat bahawa parti itu perlu bermula daripada kosong sebagaimana UMNO bermula tanpa kuasa pada tahun 1946.
“Ahli parti masih terumbang ambing dan kebingungan kerana Zahid terlalu perlahan untuk menjelaskan hala tuju parti di saat genting ini ekoran UMNO kehilangan Kerajaan dalam PRU ke 14.
“Zahid mesti mengemukakan tawaran baru beliau untuk UMNO termasuk tawaran baru untuk rakyat. Dia sepatutnya bingkas dan pantas mengemukakan tawaran baru dan hala tuju parti setelah dipilih sebagai Presiden UMNO yang baru,” kata Puad. -MalaysiaGazette