PUTRAJAYA – Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menawarkan skim pembiayaan bersama antara suami isteri atau ibu bapa dan anak-anak bagi membolehkan pemohon mendapat jumlah pinjaman lebih tinggi.

Syaratnya, sekurang-kurangnya salah seorang daripada pemohon bersama adalah kakitangan sektor awam.

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Datuk Kamal Mohd Ali berkata, pemohon bersama yang berkhidmat di sektor swasta boleh mendapatkan pembiayaan daripada MSSB Bank.

“Tujuan utama skim ini adalah untuk membantu peminjam, terutama kakitangan sektor
awam untuk memperolehi jumlah pembiayaan yang lebih tinggi berbanding pemohonan
secara individu, sekaligus memberi ruang untuk pembelian rumah kediaman yang lebih
selesa.

“Selain itu, skim pembiayaan bersama dapat membantu kakitangan sektor awam
mengurangkan komitmen bulanan pembiayaan dengan bayaran balik pembiayaan
dikongsi antara peminjam bersama,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan MSSB Bank hari ini.

LPPSA dan MBSB Bank akan menawarkan dua kategori pinjaman daripada skim ini iaitu
pembiayaan rumah yang telah siap dan juga pembiayaan rumah yang masih dalam
pembinaan.

Kemudahan yang ditawarkan oleh MBSB Bank adalah untuk membiayai
jumlah perbezaan antara jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh LPPSA dengan
baki harga rumah.

Pembiayaan yang ingin diperuntukan oleh MBSB Bank untuk skim ini adalah RM500
juta untuk tiga tahun.

Pembiayaan yang ditawarkan MBSB Bank adalah dalam bentuk produk patuh syariah iaitu Tawarruq.

Dalam pada itu, Kamal berkata, aset pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) pada tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu yang belum diaudit adalah sebanyak RM55.881 bilion.

Jumlah terkini peminjam aktif di seluruh negara adalah seramai 761,099 orang.

Sejak LPPSA ditubuhkan pada 1 Januari 2016 sehingga kini, jumlah peminjam baru yang diluluskan adalah sebanyak 101,753 dengan pinjaman bernilai RM20.71 bilion.

Menurut beliau, LPPSA menerima purata permohonan sebanyak 4,000 setiap bulan, disokong oleh pembangunan projek-projek rumah mampu milik di seluruh negara termasuk Perumahan Penjawat Malaysia (PPAM) dan lain-lain. –

LPPSA turut menawarkan pembiayaan pembelian tanah bagi membina rumah, pinjaman rumah di atas tanah sendiri, pengubahsuaian rumah atau petak kediaman serta penyelesaian bagi seluruh atau sebahagian pinjaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast