Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan Dasar Perumahan Negara yang baharu pada Disember 2018.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar baharu itu akan merangkumi aspek kemudahan pemilikan dan pembiayaan kediaman untuk rakyat.

“Ia juga akan merangkumi kaedah pengurusan dan dasar baharu yang boleh membantu mengatasi masalah pinjaman perumahan setiap pembeli daripada bank yang sering dihadapi sejak dahulu lagi.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan, Bank Negara, persatuan pemaju negara dan Kementerian Kewangan untuk penggubalan dasar baharu itu,” kata beliau selepas mengadalan lawatan ke Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PP1AM) di Persint 17 hari ini.

Beliau berkata, adalah menjadi impian dan aspirasi kerajaan baharu Pakatan Harapan memastikan pemilikan kediaman oleh rakyat dipermudahkan, khususnya dengan penurunan harga rumah.

“Sekarang kerajaan baharu dan sudah pasti polisi berkaitan pemilikan kediaman juga akan berubah dan akan dipastikan berlaku demi rakyat.

“Saya juga yakin Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula nanti juga bakal membantu mengurangkan kos barang, sekali gus harga rumah juga. Saya opimis akan murah lagi,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraidah menegaskan, segala projek perumahan rakyat seperti Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RumahWIP), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Skim Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan PPIAM akan dipindahkan ke KPKT pada Ogos ini.

Kesemua projek berkenaan yang kini berada di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri akan dilakukan setelah dibawa ke Kabinet untuk memastikan kesemua projek perumahan itu diselaraskan di bawah satu kementerian.

“Kertas cadangan itu telah dibawa ke kabinet dan sedang menunggu kelulusannya sebelum mengambil alih.

“Pada Ogos akan dibentang dalam Jemaah Menteri dan akan mendapatkan kelulusan sebelum melaksanakan proses peralihan kesemua projek berkaitan rakyat yang selama ini di bawah JPM,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast